Program turun padang menyantuni golongan asnaf yang menjadi rutin MAIWP itu diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshee.

Syed Hussien berkata, program itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menerangkan kepada masyarakat khususnya pembayar zakat bahawa pihaknya sentiasa terlibat menyantuni dan menjejaki asnaf yang memerlukan.

"MAIWP telah mewujudkan pelbagai mekanisme dalam usaha membantu asnaf seperti Skuad Jejak Asnaf, Jejak Gelandangan, Kaunter Bergerak dan Skuad Musibah.

"Skuad ini akan turun padang dalam tempoh 48 jam berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam selain mewujudkan talian hotline jejak asnaf bagi memudahkan orang awam membuat laporan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program walkabout yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Katanya, empat keluarga tersebut merupakan penerima sumbangan Baitulmal yang melibatkan Bantuan Kewangan Bulanan, Bantuan Aidilfitri, Bantuan Sewa Rumah Bulanan, Bantuan Perubatan Am dan Bantuan Am Persekolahan.

"Ada keluarga yang menerima Bantuan Kewangan Bulanan berjumlah RM600 sejak 2010 sehinggi kini.

"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban keluarga penerima demi meneruskan kelangsungan hidup," katanya. - UTUSAN ONLINE