Aktiviti kemasyarakatan turut disertai penasihat program, Nor Hisyam Husin bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar mengenai kehidupan golongan yang kurang bernasib baik.

Program ini diadakan untuk memberi sumbangan kepada mereka dalam bentuk wang tunai serta keperluan harian seperti beras, kordial, milo dan lain-lain.

Para pelajar yang menyertai program ini juga telah bergotong-royong membersihkan bilik tidur anak-anak asnaf dan juga mewujudkan sudut bacaan untuk kemudahan anak-anak asnaf menuntut ilmu serta bertujuan untuk memupuk semangat membaca dalam kalangan mereka.

Pengisian program ini berkonsepkan ilmiah dan antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi soal jawab berkaitan hal-hal agama.

Program “Small Little Thing” ini melibatkan kira-kira 40 orang anak-anak asnaf yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang berumur dari tiga hingga 17 tahun.

“Program sebegini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar untuk lebih mendekati masyarakat dan sentiasa prihatin dan peka tentang nasib insan-insan yang kurang bernasib baik di sekeliling mereka di samping dapat menerapkan nilai-nilai kepimpinan, semangat bekerjasama dan komunikasi berkesan di dalam satu pasukan”, kata Nor Hisyam.

Salah seorang pelajar, Muhammad Hadwan berkata, aktiviti seperti ini dapat merapatkan ukhuwah antara mahasiswa dan anak-anak asnaf sambil mendalami cara hidup mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan kerana ia memberi impak positif kepada diri saya sendiri, selain memberi pengalaman yang bermakna kepada diri saya dan rakan-rakan," katanya.