"Ibarat pagi datang servis, petang rosak semula,'' itu luahan penduduk yang mendakwa masalah lif di kediaman tersebut berpunca daripada kelemahan aspek penyelenggaraan termasuk pemantauan dan semakan oleh pihak berwajib terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi Persatuan Penduduk Blok C PPR Kerinchi, Mohd. Yusoff Ibrahim berkata, masalah lif yang kerap mengalami kerosakan di situ tidak seharusnya dipandang ringan oleh DBKL kerana ia melibatkan soal nyawa dan keselamatan penduduk.

"Kalau dilihat daripada mata kasar lif ini memang sudah dalam keadaan uzur dan sering mengalami masalah teknikal.

"Penduduk juga tidak tahu sejauh mana tahap perincian kerja-kerja baik pulih dijalankan kerana tiada catatan memaklumkan mengenai jadual penyelenggaraan lif ini," katanya ketika ditemui di PPR Kerinchi, di sini hari ini.

Mengulas mengenai insiden lif terjunam dari tingkat lima semalam, Mohd. Yusoff berkata, ia bukan kali pertama kejadian itu berlaku sebaliknya pernah dialami oleh penduduk beberapa kali sebelum ini.

"DBKL tidak pernah mengambil iktibar mengenai kejadian ini meskipun beberapa kali aduan diutarakan oleh penduduk mengenai kualiti dan tahap keselamatan lif yang digunakan," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Zairudin Baharuddin, 33, berkata, masalah lif yang membelenggu penduduk blok itu telah lama mengundang rasa tidak puas hati penduduk terhadap kerja-kerja baik pulih yang dijalankan.

"Boleh dikatakan setiap minggu rosak, apabila baiki satu lif, lif kedua pula rosak seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Katanya, walaupun diselubungi perasaan bimbang dan trauma namun penduduk tiada pilihan lain melainkan menggunakan kemudahan itu untuk ke kediaman terutama mereka yang menetap di tingkat atas.

"Penduduk sudah lali dengan masalah lif rosak di sini namun itulah realiti yang dihadapi. Penduduk meletakkan harapan yang tinggi kepada DBKL untuk menaik taraf atau menggantikan lif baharu supaya masalah kerosakan dan kejadian lif terhempas tidak berulang," katanya. - UTUSAN ONLINE