Lawatan yang turut disertai pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sekolah Bandar Tun Hussein Onn itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan agensi itu yang diadakan setiap tahun.

LHDN dalam kenyataan berkata, program tersebut juga adalah kesinambungan kepada Projek Ternakan Ikan Air Tawar di pusat jagaan tersebut yang bermula sejak 2015.

“Majlis dimulakan dengan ucapan Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wan Azni Wan Hassan dan diikuti dengan tazkirah ringkas daripada pensyarah UKM, Prof. Datuk Noraziah Mohd. Awal.

“Dalam program kali ini, sumbangan berbentuk wang tunai hasil kutipan daripada para pegawai serta untung hasil jualan ikan talapia, barangan keperluan harian, anak ikan serta palet diserahkan,” katanya.

Pusat Jagaan Al-Fikrah menempatkan kira-kira 70 penghuni yang terdiri daripada individu tanpa waris, orang kurang upaya (OKU), warga emas, saudara baharu dan bekas pesakit hospital.

Dalam program itu juga diadakan acara melepaskan 2,000 ekor anak ikan talapia ke dalam kolam oleh tetamu yang hadir bersama wakil pusat jagaan itu.

Turut hadir, Pengarah LHDN Cawangan Cheras, Nasruddin Mat Nasir dan Pengarah Bahagian Jabatan Audit Dalam LHDN, Shamsul Zahuri Johari. - UTUSAN ONLINE