Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, larangan itu sebagai usaha menyelesaikan masalah kesesakan trafik ekoran lambakan lori menggunakan laluan kawasan berkenaan pada waktu puncak.

Katanya, ia melibatkan jarak sejauh lapan kilometer bermula dari Caltex Selayang Pandang sehingga Rawang Bypass yang akan dilaksanakan dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 3.30 petang hingga 7 malam pada waktu bekerja.

"Larangan ini melibatkan kenderaan berat dengan muatan lima tan dan ke atas di lorong dua hala," katanya dalam sidang akhbar mengenai larangan itu, semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd. Sany Hamzan; ADUN Rawang, Chua Wei Kiat dan Jurutera JKR Gombak, Som Pong Pichan.

William berkata, larangan kenderaan berat itu adalah langkah penyelesaian jangka masa pendek yang dirasakan sesuai untuk mengatasi kesesakan trafik di kawasan itu.

"Kenderaan berat menjadi perlahan ketika melalui jalan berbukit. Kawasan itu juga kerap berlaku masalah lori rosak, sekali gus menjadi punca kesesakan pada waktu puncak," katanya.

Menurut beliau, JKR Gombak akan mula memasang papan tanda peringatan dalam masa terdekat dan pemakluman penguatkuasaan larangan itu juga telah diedarkan kepada agensi-agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah kesesakan trafik di kawasan itu sebelum ini sering dibangkitkan dan pernah dibawa ke Parlimen untuk cadangan pelebaran jalan dengan tambahan satu lorong.

"Namun dengan keadaan kewangan negara yang terhad, cadangan pelebaran jalan dengan kos RM10 juta sejauh satu kilometer itu tidak mungkin dapat direalisasikan," katanya. - UTUSAN ONLINE