Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A. Hamid berkata, pemberian lesen sementara setelah pihaknya menerima dan mengambil kira surat sokongan daripada pihak JAS Putrajaya.

"JAS merupakan antara jabatan teknikal telah memberi ulasan tiada halangan untuk kilang tersebut meneruskan operasi premis sedia ada, selepas Perintah Larangan mengikut Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ditarik balik.

"Selain itu, kilang juga perlu mematuhi beberapa syarat yang telah dikeluarkan oleh pihak JAS seperti tidak menjalankan aktiviti dan operasi melebur plumbum sehingga kelulusan laporan kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dikeluarkan oleh JAS.

"Lanjutan daripada penarikan balik Perintah Larangan tersebut, kami bersetuju untuk menimbangkan permohonan lesen perniagaan sementara selama dua bulan mulai 19 Jun hingga 19 Ogos ini selain perlu mematuhi syarat ditetapkan oleh JAS dikeluarkan pada 12 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ujarnya, kilang juga perlu mematuhi syarat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kawalan Bangunan MDKL yang ditetapkan pada 6 Mei lalu.

"Lesen sementara tersebut akan ditarik balik sekiranya pengusaha kilang melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan dan pemantauan akan terus dilakukan oleh pihak JAS dan MDKL untuk memastika syarat dan peraturan dipatuhi.

"Sehubungan itu, kami menegaskan sekali lagi bahawa semua kelulusan lesen sementara dan kekal perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi," katanya.

Pagi semalam, hampir 100 penduduk Kampung Jenjarom tersebut mengadakan demonstrasi aman membantah operasi kilang bateri itu yang didakwa membuang sisa plumbum ke dalam saliran yang bersambung dengan sungai serta menyebabkan pencemaran udara di Jalan Sukepi, dekat sini.

"Mereka mendesak MDKL dan JAS untuk tidak menyambung lesen operasi sementara kilang berkenaan yang bakal tamat pada 19 Ogos ini," katanya.

Pada April lalu, akhbar melaporkan sebuah kilang bateri di Jenjarom, Kuala Langat dekat sini diarah tutup serta-merta sehingga siasatan selesai oleh kerajaan negeri berikutan pencemaran asid dan plumbum yang didakwa berpunca daripada kilang itu.

Kilang bateri itu dilaporkan turut dikenakan enam kompaun berjumlah RM12,000. - UTUSAN ONLINE