MDHS dalam satu kenyataan memaklumkan, saranan itu dibuat ketika majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang bersempena bulan kemerdekaan ke-62 tahun oleh Yang Dipertua (YDP) MDHS, Shukri Mohamad Hamin di Stadium Mini, Kuala Kubu Bharu, Khamis lalu.

Turut diadakan, perbarisan tabik hormat oleh 15 anggota penguat kuasa MDHS dan sesi penyerahan bendera sebagai simbolik pemasangan bendera di bangunan MDHS.

Shukri juga telah menyerahkan bendera kepada setiap jabatan MDHS dengan diwakili oleh pengarah dan ketua jabatan untuk dipasang di jabatan masing-masing serta pemasangan bendera di enam kenderaan pelbagai jenis MDHS.

"YDP turut menyempurnakan pelepasan konvoi kibarkan Jalur Gemilang bagi edaran risalah pemasangan bendera ini di premis dan bangunan sekitar kawasan Kuala Kubu Bharu, dekat sini," katanya.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Khidmat Pelanggan MDHS, Mohd. Norazif Ahmad Tamsis dan Ketua Bahagian Korporat MDHS, Junainah Abdullah.

Hadir sama, Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd., Rozunan Che Pa dan Pengarah Jualan (Sales) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), JH Rozman.

Ujar MDHS, Perodua turut mengadakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membuat pemeriksaan kereta Perodua secara percuma sebagai salah satu kempen kesedaran keselamatan kenderaan kepada orang awam.

"Pelanggan yang membuat pemeriksaan kereta turut mendapat 50 poin percuma dan baucar diskaun sebanyak 20 peratus untuk alat ganti dan aksesori kenderaan Perodua," katanya. - UTUSAN ONLINE