Hasil meningkat kepada RM766.58 juta daripada RM630.68 juta sebelumnya.

Pengarah Urusan, Lim Peng Jin berkata, pertumbuhan itu didorong oleh penggunaan kilang yang tinggi di bahagian pembuatan termasuk peningkatan sumbangan daripada kilang filem regangan baharu syarikat di Arizona, Amerika Syarikat yang beroperasi pada Januari 2018 dan pengambilalihan Klang Hock Plastic Industries pada Mei 2018 serta kemajuan pengebilan daripada projek pembangunan segmen hartanah.

“Langkah Scientex memperluaskan pembuatan membolehkan kami mencari dengan agresif peluang pertumbuhan baharu dalam pasaran pembungkusan fleksibel global,” katanya.

Pada masa hadapan, Lim berkata, syarikat itu akan terus komited mengembangkan segmen pembuatan dan hartanahnya.

Menurutnya, syarikat itu menyasarkan untuk melancarkan hartanah baharu dengan nilai pembangunan kasar RM600 juta pada separuh kedua tahun kewangan 2019.

Pada separuh pertama tahun kewangan 2019, pelancaran hartanah baharu syarikat itu mencecah nilai pembangunan kasar sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, syarikat itu juga menjangka memuktamadkan tawaran am mandatori (MGO) bagi membeli kesemua baki saham dalam Daibochi, penyedia utama pembungkusan fleksibel serantau yang menawarkan jenama pengguna multinasional bereputasi pada April.

“Gabungan Scientex dan Daibochi membolehkan kami berkongsi sumber sinergi serta bekerjasama dalam pembangunan inovasi dan produk.

“Ini akan mengukuhkan daya saing bahagian pembuatan kami dan bersedia untuk mewujudkan entiti pembungkusan fleksibel yang utuh dalam pasaran global,” kata Lim.

-BERNAMA