Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, selepas 61 tahun mencapai kemerdekaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera hanya menyumbang kurang daripada 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun membentuk 68 peratus daripada jumlah penduduk.

“Jelas sekali kita perlu melakukan sesuatu untuk memperkasakan mereka (bumiputera). Kami akan mengadakan lebih banyak program termasuk latihan peribadi dan mempunyai lebih banyak hubungan perdagangan dua hala,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemerkasaan, Kemajuan dan Pertumbuhan Ekonomi dalam Malaysia Baharu di sini hari ini.

Mohd. Redzuan berkata, kementeriannya juga akan memberikan beberapa input kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai dasar ekonomi Melayu yang baharu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini memberitahu kerajaan akan merumuskan dasar ekonomi inklusif baharu bagi orang Melayu berdasarkan pertumbuhan di samping memastikan kesamarataan dan kemakmuran bersama.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Redzuan berkata, menjadi aspirasi kerajaan baharu untuk memupuk minat dalam bidang keusahawanan sebagai budaya atau gaya hidup di negara ini.

“Kita melihat keusahawanan sebagai komponen pemerkasaan utama bagi membangunkan lebih banyak pengeluar dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Perlu ada usaha dalam dua bidang utama iaitu pendigitalan perniagaan dan pembangunan tenaga kerja untuk merealisasikannya,” katanya.

Mohd. Redzuan berkata, dengan lebih daripada 1.2 juta perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, satu usaha untuk menggalakkan penggunaan pendigitalan dan penggunaan ekonomi perlu diambil bagi memastikan usahawan dan ekonomi negara terus berdaya saing.

“Pendigitalan juga menawarkan peluang baharu bagi penyelesaian perniagaan yang inovatif dalam persekitaran yang pantas berubah dan ia juga memerlukan perniagaan yang bergerak aktif dan pantas,” katanya. - BERNAMA