ANTARA hantaran berhubung kempen utamakan produk Muslim yang tular dalam WhatsApp sejak kebelakangan ini. - GAMBAR SOSIAL MEDIA

Lembaga Pengarah Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Dr. Rosli Yaakop walau bagaimanapun berkata, kempen itu tidak harus disempitkan dengan sentimen-sentimen perkauman.

“Kalau orang Islam jadi usahawan, proses untuk mewujudkan barangan halal itu akan menjadi lebih sistematik. Terjamin. Ini tak bermakna kita tidak bekerjasama dengan usahawan bukan Islam. Hukum amnya harus sahaja kita beli barang orang bukan Islam.

“Banyak sahaja barangan yang orang bukan Islam keluar dan orang Islam tidak keluar contohnya kenderaan, telefon pintar, perkhidmatan penerbangan. Jadi boikot bukan terminologi yang betul. Jika utamakan barangan buatan orang Islam, itu tiada masalah.

“Kita sokong kempen itu dengan konteks yang lebih besar iaitu untuk memakmurkan ekonomi negara dan orang Islam, tetapi bukan dalam konsep sempit, melibatkan isu perkauman,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Foodbank Yapeim 1.0 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata, siasatan terhadap Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin, yang digantung tugas sebelum ini masih diperingkat siasatan dalaman.

“Kita jangka hujung bulan siasatan tersebut akan selesai dan kita kerah kepada pihak mahkamah untuk buat keputusan terhadap laporan siasatan tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE