Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam menjelaskan, para permohon hendaklah melalui beberapa proses dan memenuhi syarat seperti mempunyai loji dan kilang memproses keratan ayam tersebut.

“Selain itu, pematuhan daripada syarat-syarat ditetapkan akan dikemukakan kepada tiga jawatankuasa di peringkat jabatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk kelulusan.

“Jawatankuasa terakhir sekali yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuat keputusan sama ada mereka lulus atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, menurut Quaza Nizamuddin, pihaknya menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa proses itu tidak mengikut syarat dan wujudnya salah laku terhadap kaedah permohonan.

Katanya, semua proses permohonan dibuat secara ketat dan teliti termasuk mengenal pasti kemampuan pemohon mampu memproses keratan ayam atau sebaliknya.

“Hal ini ekoran dakwaan tular di laman sosial yang mendakwa wujudnya pilih kasih terhadap proses ini dan sekali gus menimbulkan persepsi negatif kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya.

Pada masa sama, Quaza Nizamuddin menjelaskan, industri pengimportan keratan ayam bertujuan untuk keperluan sektor hiliran seperti penghasilan sosej, burger dan nuget bagi tujuan pasaran tempatan serta antarabangsa.

Katanya, negara mengimport keratan ayam dengan nilai RM468 juta dan sekali gus telah berjaya mendatangkan pulangan sehingga RM730 juta dalam setahun.

“Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan 62 daripada 138 syarikat yang memohon dalam industri ini manakala bakinya tidak dapat diluluskan kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.-UTUSAN ONLINE