Perkara itu disahkan Kementerian Wilayah Persekutuan yang menjelaskan terdapat kerosakan pada komponen brek lalu menyebabkannya gagal mencengkam lif dengan baik.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang melakukan siasatan berjaya mengesan punca lif tersebut jatuh.

“DOSH mendapat plunger pada brek dikesan tersekat, justeru ia tidak berfungsi kerana sebahagiannya terhakis. Bagaimanapun masalah itu tidak menjejaskan keseluruhan sistem brek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah DOSH< Omar Matpiah dan Pengarah Bahagian Forensik DOSH, Salina Tukimin.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu akan bertemu dengan syarikat pengeluar lif tersebut untuk memastikan perkara sedemikian tidak berulang kerana insiden berkenaan amat jarang berlaku.

“Kita akan berbincang dan mendapatkan maklumat daripada syarikat pengeluar mengenai model lif tersebut.

“Selain itu DOSH juga akan mengkaji kaedah penyelenggaraan kerana kes lif jatuh memang jarang berlaku,” jelasnya.

Lapan individu termasuk seorang wanita dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang patah kaki manakala empat lagi cedera di bahagian pergelangan kaki dalam kejadian pada kira-kira pukul 2.30 petang itu. - UTUSAN ONLINE