Setiap hiasan kepala memiliki kesenian yang berbeza dalam memaparkan identiti budaya.

Selain dijadikan aksesori untuk memperlihatkan kecantikan, hiasan ini turut mempunyai kuasa tersendiri dalam upacara istiadat serta kepercayaan mengikut tradisi masing-masing.

Ini diakui Kurator Kanan Muzium Tekstil Negara, Rosidah Abdullah ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Pameran Hiasan Kepala: Kecantikan dan Kuasa di Muzium Tekstil Negara di sini.

Menurutnya, ciri-ciri seperti jenis, bentuk ikatan dan simpulan serta warna hiasan kepala itu jelas menjadi petunjuk utama bagi membezakan status pemiliknya sama ada golongan kerabat diraja, pembesar, ketua suku kaum atau rakyat jelata.

“Hiasan kepala kebiasaanya diperbuat daripada sumber alam dan material lain seperti rotan, bulu, gigi dan kulit binatang, emas, perak serta suasa.

“Bagaimanapun seiring dengan arus pemodenan telah mengubah penggunaan bahan-bahan semula jadi itu kepada manik, kain biasa atau mana-mana yang senang diperolehi,’ ujarnya.

Rosidah berkata, pengubahsuaian perlu dilakukan atas beberapa faktor seperti mengelak daripada berlaku kepupusan alam semula jadi, tetapi tetap mengekalkan bentuk dan ikatan.

Mengenai pameran itu, beliau berkata, tujuan diadakan bagi memperkenalkan kesenian hiasan kepala kepada generasi muda sekali gus sebagai pencetus idea kepada pereka baharu.

“Sepanjang pameran orang ramai berpeluang melihat 128 koleksi termasuk pakaian.

“Hiasan kepala moden hasil cetusan idea pereka tempatan ter­kenal iaitu Bremen Wong turut dipamerkan,” katanya.