Pertandingan tersebut merupakan siri keempat bagi tahun ini yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mohd. Sauffi Muhamad berkata, aktiviti riadah itu dianjurkan bagi mengisi masa lapang khususnya warga kota yang tidak pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina.

“Meskipun penganjuran per­tandingan ini berlangsung pada hari cuti hujung minggu dan cuti umum yang panjang, tapi penyertaannya sangat mengga­lakkan.

“Pertandingan ini juga memberi peluang kepada semua keluarga melakukan aktiviti riadah bersama di taman-taman awam di ibu negara,” katanya.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Tuan Idzawi Raja Ismail.

Dalam pada itu, Mohd. Sauffi berharap, program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, JPKL terus mendapat sambutan banyak pihak dari seluruh negara.

“Kita akan memperluaskan program santai ini bagi mengisi masa cuti dan memberi peluang kepada kaki-kaki pancing menguji bakat dan untuk siri ke-5 dijangka akan berlangsung pada April depan,” jelasnya.