Beroperasi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam, lokasi itu bukan sahaja menjadi ‘syurga barang antik’ malah menawarkan pelbagai jualan makanan ‘food truck’ yang menyajikan aneka menu tempatan dan antarabangsa.

Pengurus Bangunan Kompleks PKNS Shah Alam, Syahril Mohd Rashid berkata, pihaknya menjanjikan kelainan pengisian apabila menyediakan pelbagai aktiviti seperti persembahan buskers, jualan barang permainan, koleksi kartun anime, aktiviti bersama badut dan pelukis jalanan.

Katanya, ini seiring hasrat menjadikan SACC Walk dan Kompleks PKNS Shah Alam sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara mengisi masa lapang bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Selain itu, cogan kata `Segalanya Bermula Di Sini' dipilih bagi membolehkan pengunjung mengimbau kembali kenangan lalu selepas kewujudan Kompleks PKNS Shah Alam sejak 40 tahun yang lalu.

“Kami juga merasakan perlunya ada program-program seperti ini untuk memberikan peluang dan juga sebagai landasan bagi usahawan-usahawan bumiputera yang ingin menjalankan perniagaan dengan modal yang sedikit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syahril, kewujudan lokasi itu juga dapat membantu merancakkan ekonomi di Shah Alam dan Selangor dengan menarik pengunjung yang terdiri daripada penduduk setempat dan luar kawasan.

SACC Walk Flea Market dianjurkan oleh pengurusan Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan PKNS Real Estate Sdn. Bhd.dengan kerjasama Tapak Urban Street Dining dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Negeri Selangor. - UTUSAN ONLINE