Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, majoriti syarikat Malaysia melihat prospek positif dalam masa terdekat dan menjangkakan pertumbuhan dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Menurut beliau, keputusan itu selari dengan tinjauan syarikat global lain dengan hampir separuh daripadanya lebih optimis berbanding tahun lalu.

“Begitu juga dengan pengeksport yang yakin perniagaan mereka akan berkembang lebih daripada lima peratus dalam tempoh sama. Faktor lain yang memacu pertumbuhan ialah asas pelanggan yang stabil serta mempunyai pembekal yang berkualiti dan bahan mentah yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Milne, kebanyakan syarikat melihat banyak peluang berbanding ancaman membantu hasil tinjauan yang positif untuk Malaysia.

Katanya, tiga peluang terbesar dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang adalah pertumbuhan pasaran untuk produk atau perkhidmatan, menggunapakai teknologi baharu serta penerokaan pasaran baharu.

“Walaupun terdapat peluang, namun masih ada ancaman yang perlu dielakkan termasuk pesaing baharu dan prestasi pesaing,” ujarnya.

Sementara itu, Milne berkata, perniagaan Malaysia lebih yakin tentang prospek mereka berbanding negara lain disebabkan ekonominya yang baik di samping kemunculan banyak kawasan perbandaran, pertumbuhan golongan pertengahan serta aktiviti pelaburan dan perdagangan yang semakin meningkat.

Katanya, beliau percaya syarikat tempatan sentiasa pantas dan berhemah sebagai tindak balas kepada asas pelanggan yang semakin berkembang pantas.

“Syarikat-syarikat ini disesuaikan dengan gangguan dan inovasi adalah asas kepada kejayaan masa depan. Mereka dapat meningkatkan kualiti barangan dan perkhidmatan selain memenuhi keperluan dan jangkaan asas pelanggan yang lebih baik menerusi peningkatan produktiviti dan mengintegrasikan teknologi baharu ke dalam model perniagaan mereka,” katanya.

HABIS...