Menurut agensi penarafan itu, sejajar impak liberalisasi tarif dan pertumbuhan yang menyederhana, sumbangan takaful am juga dijangka berkembang walaupun pada tahap lebih perlahan iaitu enam hingga tujuh peratus.

Pertumbuhan perniagaan baharu takaful keluarga juga dijangka susut kepada tujuh hingga sembilan peratus berikutan sentimen pengguna yang lebih perlahan serta peningkatan kos sara hidup.

“Walaupun berlaku penyederhanaan dalam jangka pertengahan ini, prospek pertumbuhan jangka panjang industri itu kekal dipacu oleh faktor seperti sokongan demografi Malaysia, kadar penembusan yang rendah serta inisiatif kesedaran yang disasarkan kepada pasaran massa yang majoritinya penduduk Muslim,” katanya.

RAM Ratings berkata sumbangan takaful am turut menokok 8.0 peratus kepada RM2.8 bilion pada 2018.

“Semua perniagaan utama mencatat pertumbuhan yang diterajui oleh (segmen perlindungan) permotoran dan seterusnya perlindungan perubatan dan kemalangan peribadi serta pelan (insurans perlindungan) kebakaran.

“Bagaimanapun, kekurangan pemangkin utama bagi jualan automotif dan transaksi hartanah mungkin akan mengekang pertumbuhan pada masa depan,” katanya.

Menurut RAM Ratings, dalam persekitaran penetapan harga sebelum ini, keupayaan pengendali takaful am menawarkan insentif rebat tunai kepada pelanggan daripada lebihan dana takaful, juga menjadi sumber perbezaan produk.

Bagaimanapun, kelebihan daya saing ini telah dijejaskan oleh harga berasaskan risiko berikutan kesemua pengendali insurans dan pengendali takaful am kini boleh menawarkan pengurangan premium atau sumbangan bagi risiko tertentu.

Bagi takaful keluarga, RAM Ratings berkata segmen itu dipacu oleh pertumbuhan produk keluarga biasa yang mencatat peningkatan sumbangan perniagaan baharu pada kadar 13.1 peratus lebih pantas kepada RM4.9 bilion pada 2018 namun keuntungannya dijejaskan oleh pelaburan yang perlahan.

“Pada masa ini, kadar penembusan takaful keluarga adalah rendah iaitu kira-kira 15 peratus dan jangkaan pertumbuhan penggunaan swasta yang menyederhana pula boleh menjejaskan permintaan jangka pendek.

“Skim Perlindungan Kesihatan Nasional mySalam yang diumumkan baru-baru ini dengan perlindungan takaful kepada kumpulan berpendapatan rendah B40 boleh berperanan sebagai pemangkin bagi pembelian pelan perlindungan individu pada masa akan datang,” katanya.

Malah menurut RAM Ratings, segmen takaful hanya mewakili sebahagian kecil 17 peratus daripada jumlah premium dan sumbangan sektor insurans dan takaful Malaysia.

Bagi kemajuan masa depan, agensi penarafan itu menjangkakan langkah perubahan pengawalseliaan akan datang termasuk penambahbaikan Rangka Kerja Operasi Takaful sedia ada serta semakan garis panduan produk berkaitan pelaburan akan berkuat kuasa pada 2020 untuk kalangan pengendali takaful keluarga.

“Tujuannya adalah untuk memastikan standard tadbir urus tinggi dan perlindungan lebih baik kepada para pengguna.

“Bagi tempoh setakat akhir Jun 2018, nisbah gabungan kecukupan modal sektor am dan takaful adalah pada 227.5 peratus iaitu melepasi syarat keperluan minimum sebanyak 130 peratus,” katanya. - BERNAMA