Pengerusi Institut Insurans Malaysia, T. Anusha berkata, dunia kini bergerak ke arah komuniti digitalisasi dengan anggaran dua bilion generasi millenial.

Jelas beliau, daripada jumlah itu sebanyak 58 peratus berada di Asia yang mana generasi mempunyai kesalinghubungan dengan digital yang tinggi merupakan pelengkap terbaik kepada perniagaan yang dipacu oleh teknologi terkini.

“Kegagalan untuk menarik perhatian golongan ini boleh menyebabkan perniagaan ketinggalan jauh, kehilangan pelanggan berpotensi dan bakat dalam industri insurans,” katanya dalam Konvensyen Tuntutan Antarabangsa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Tambah Anusha, teknologi dan inovasi digital yang ada sekarang akan terus kekal serta berevolusi dan situasi itu berupaya menjadi pengacau kepada model perniagaan semasa.

Katanya, industri insurans harus mengadaptasi teknologi berkenaan dan menggunakan kelebihannya untuk berkembang bersama bagi menjadikan perniagaan lebih tangkas dan fleksibel sebagai usaha untuk kekal berdaya saing dalam pasaran yang mencabar.

“Menurut artikel Havard Business Review kebanyakan teknologi digital menyediakan kemungkinan untuk memberikan hasil kecekapan serta menjadikan hubungan dengan pelanggan lebih mesra.

“Bagaimanapun, teknologi digital boleh mengakibatkan jurang kelemahan yang lebih besar jika kita tidak mahu berubah ditambah kecacatan amalan dalam organisasi,” ujarnya.

Industri insurans hayat mencatatkan pertumbuhan sederhana tahun lepas dari segi perlindungan kepada rakyat Malaysia kepada RM1.51 trilion nilai jaminan ke atas polisi, peningkatan sebanyak 9.6 peratus berbanding RM1.38 trilion pada 2017. Insurans am pula mencatatkan pertumbuhan 1.5 peratus dengan premium bertulis kasar (GWP) berjumlah RM17.92 bilion.

HABIS...