Penasihat Ekonomi Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), Sian Fenner berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang pada kadar 4.4 peratus pada 2019 berikutan permintaan domestik di tengah-tengah persekitaran eksport yang sukar.

Katanya, eksport dijangka kekal di bawah tekanan dengan peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang tidak berubah dalam masa terdekat.

“Ekonomi di negara-negara serantau Asia Tenggara juga dilihat bermula dengan perlahan susulan aktiviti ekonomi global yang perlahan pada akhir 2018.

“Bagaimanapun Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mencatatkan pertumbuhan eksport tahunan manakala negara lain di rantau ini merekodkan pertumbuhan yang perlahan pada Disember 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, ICAEW mengunjurkan ekonomi rantau Asia Tenggara berkembang dengan perlahan daripada 5.1 peratus pada 2018 kepada 4.8 peratus pada tahun ini.

“Kami menjangkakan perbelanjaan fiskal akan mengukuh di Indonesia, Thailand serta Filipina menjelang pilihan raya pada separuh pertama 2019.

“Kami melihat terdapat risiko politik di Indonesia dengan Presiden Jokowi dijangka kekal berkuasa di negara berkenaan,” katanya.

HABIS