Program julung kali anjuran Kalbe Malaysia Sdn. Bhd. itu terbahagi kepada dua kategori iaitu 21 kilometer (km) dan lima km dan sehingga kini, seramai 2,000 peserta telah mendaftarkan diri mereka untuk mengambil bahagian dalam acara itu.

Pengarah Teknikal program, Abdul Wahab Adzmi berkata, program itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM31,600 yang mana tempat pertama bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang sebanyak RM3,000 diikuti tempat kedua dan ketiga masing-masing RM2,000 dan RM1,000.

“Tempat keempat pula akan membawa pulang RM500 manakala tempat kelima dan keenam masing-masing RM300 dan RM200.

“Bagi tempat ketujuh hingga ke-10 pula, peserta akan menerima RM100 diikuti tempat ke-11 hingga 20 (RM50),” katanya dalam sidang akhbar pelancaran program berkenaan di pusat beli-belah MyTown, Cheras di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengurus Negara Kalbe Malaysia Sdn. Bhd. Smit Soni.

Menurut Abdul Wahab, sebanyak empat kategori dipertandingkan untuk acara 21 km iaitu terbuka lelaki, terbuka wanita, veteran lelaki dan veteran wanita berusia 40 tahun ke atas.

“Bagi acara lima km pula, dua kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki dan terbuka wanita yang mana penyertaan tidak kira peringkat umur,” katanya.

Sementara itu, Smit berkata, selain menyedarkan peserta tentang kepentingan menjaga kesihatan, program itu juga adalah selari dengan saranan dan objektif kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang cerdas, aktif dan sihat.

“Selain itu, program ini juga bertujuan mempromosi minuman extra joss yang dapat menambahkan tenaga tanpa perlu bimbang tentang kandungan gula berlebihan. Extra Joss adalah minuman yang sesuai untuk acara larian seperti ini,” katanya.

Orang ramai yang berminat mengambil bahagian dalam program ini boleh membuat pendaftaran secara dalam talian di aplikasi JomRun sebelum tarikh tutup penyertaan pada 7 Ogos ini atau mendapatkan maklumat lanjut di laman web http://jomrun.com/event/extra-joss-extra-half-marathon.

Selain larian, program yang bermula dari pukul 5 pagi hingga 10 pagi itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain seperti cabutan bertuah dua buah motosikal selain gerai jualan dan gerai minuman percuma Extra Joss. - UTUSAN ONLINE