Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan memboikot yang dilakukan segelintir pihak itu dilihat hanya bertujuan menakutkan kaum tersebut.

“Bukan dengan orang Cina sahaja dengan orang India yang sikit pun nak telan dan orang Cina ditakutkan juga. Orang Melayu boikot sikit, kekuatan ekonomi cina itu terlalu kuat untuk diboikot sikit-sikit,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Siri Dialog Digital Native Agenda 23 (DNA23) sempena Minggu Mesra Siswa - Siswi UKM Sesi 2019/2020.

Yang turut hadir, Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abdul Shukor.

Sebelum ini Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan, kempen memboikot barangan bukan Islam merupakan satu langkah yang tidak sihat dan boleh menimbulkan pertengkaran serta isu antara kaum.

Tegasnya, adalah penting untuk umat Islam mengeluarkan produk yang memudahkan umat Islam sekali gus diterima oleh semua kaum.

Akhir-akhir ini terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Islam dan membeli produk keluaran bumiputera.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan tidak bersetuju dengan gerakan memboikot itu dan menyifatkan perkara berkenaan hanya dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek.-UTUSAN ONLINE