Semalam, pasaran saham global jatuh kesan kebimbangan perang dagangan dan ekonomi dunia yang menyebabkan para pelabur tidak memasuki pasaran. Tiga pasaran saham utama AS ditutup tiga peratus lebih rendah, saham-saham di Eropah turut jatuh sementara pasaran saham Asia dibuka rendah.

Disebabkan perkara itu juga pasaran modal dunia menjadi sangat pesimistik.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, isu-isu seperti perang perdaga­ngan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta dasar perda­gangan antarabangsa yang bersifat melindungi dilihat mampu untuk mengancam momentum pertumbuhan ekonomi global.

“Pengakhiran kepada kemelut ini tidak diketahui kerana si­tuasinya amat rapuh dan sentiasa berubah. Justeru, kebimbangan ini memberi kesan negatif terhadap pasaran kewa­ngan tentang risiko kelembapan ekonomi yang mungkin berlaku akibat daripada situasi semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Data yang lemah dari Jerman dan China pada Rabu mendorong pelabur untuk memiliki aset yang lebih selamat se­perti bon dan emas. Pergerakan dalam pasaran bon menunjukkan kemungkinan kemelesetan dalam ekonomi utama.

Tambah Mohd. Afzanizam, permintaan terhadap instrumen pendapatan tetap yang diterbitkan oleh kerajaan adalah amat tinggi berikutan keperluan untuk melindungi nilai pelaburan.

Jelasnya, permintaan yang tinggi terhadap bon-bon kerajaan menyebabkan kadar pula­ngan bon menjadi rendah sekali gus menyebabkan fenomena kadar pulangan bon songsang.

“Pulangan bon yang mempunyai tempoh matang singkat seperti tiga bulan adalah lebih tinggi berbanding bon pulangan matang 10 tahun. Ini bermakna permintaan terhadap bon kerajaan AS sangat tinggi meskipun ia memberi pulangan yang rendah.

“Ia juga menjadi pilihan kerana bon-bon kerajaan tidak mempunyai risiko kredit atau mungkir,” katanya.

Mengenai perspektif negara, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, beliau bimbang terhadap pilihan maklum balas kerajaan sekiranya dunia berdepan kemelesetan ekonomi disebabkan fleksibiliti fiskal yang terhad.

Menurut beliau, kekurangan pilihan dasar bermakna jika Malaysia berdepan kemelesetan global yang teruk, kerajaan tidak dapat melaksanakan strategi pemulihan yang sama seperti apa yang dilakukan pada kemelesetan terdahulu.

“Hal ini terpakai untuk kerajaan-kerajaan lain termasuk AS dan China. Kekurangan fleksibiliti mengundang ketidakpastian pertumbuhan yang berterusan sementara kesan pemulihan yang kukuh dapat dicapai apabila kemelesetan berakhir,” katanya.