Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A. Hamid berkata, tindakan terhadap segelintir pemaju atau pemilik syarikat yang tidak bertanggungjawab mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran MDKL itu akan dirobohkan kerana mengabaikan aspek keselamatan.

"Langkah ini adalah untuk memastikan setiap struktur bangunan yang dibina menepati piawaian atau garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan banyak pihak," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Zain berkata, dua syarikat yang telah dikenakan tindakan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok dekat sini baru-baru ini dan telah didapati bersalah kerana mendirikan bangunan tanpa kebenaran dan menjalankan aktiviti pemajuan tanpa kelulusan.

"Bagi kes pertama, Syarikat Green Prosperity International Sdn. Bhd. telah didakwa mengikut Seksyen 70(13)(C) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan didenda sebanyak RM8,000 atau penjara sebulan beserta satu perintah mahkamah untuk merobohkan struktur tersebut dalam tempoh 10 bulan.

"Sementara itu, bagi kes kedua pula, Kenwingston Pristine Sdn. Bhd. didakwa mengikut Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Seksyen 26(1)(a) akta sama kerana pemajuan melibatkan tanah dan bangunan tanpa mengikut Rancangan Tempatan.

"Syarikat itu didenda sebanyak RM15,000 atau penjara lapan bulan oleh mahkamah sama. Kedua-dua syarikat telah pun menjelaskan denda tersebut," katanya.

Tambah Mohamad Zain, MDKL memandang serius terhadap sebarang pembinaan tanpa kebenaran dan pihaknya sedang dalam proses mengambil tindakan terhadap pemilik-pemilk tanah yang yang menjalankan aktiviti pembinaan bangunan yang bercanggah dengan Rancangan Tempatan Kuala Langat.

"Kes ini merupakan kes yang pertama yanga akan didakwa di mahkamah di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)," katanya.

Ujarnya, MDKL meminta mana-mana syarikat yang terlibat dalam aktiviti pemajuan tanpa kebenaran untuk hadir ke Jabatan Perancangan Pembangunan MDKL sebelum tindakan mahkamah diambil. - UTUSAN ONLINE