Pameran berprestij yang bermula pada 1 Mac lalu hingga 1 Julai ini diadakan bertujuan men-yedarkan masyarakat khususnya generasi muda tentang khazanah warisan yang menjadi kebanggaan masyarakat.

Ini diakui sendiri Pengarah Bahagian Pameran dan Pengembangan JMM, Esa Haron.

Beliau berkata, sewajarnya generasi baharu turut menghargainya kerana kegemilangan seni warisan ini mencerminkan budaya sesebuah bangsa.

“Bila kita melihat kembali kepada sejarah bersama bukti di depan mata, ia akan menzahirkan kedudukan dan siapa diri kita yang sebenarnya.

“Oleh itu, pameran ini merupakan usaha untuk mendidik masyarakat supaya mencintai sejarah yang menjadi warisan negara selain membina jati diri mereka melalui falsafah bidang kesenian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menerangkan lebih terperinci Esa berkata, terdapat 257 koleksi yang dipamerkan bermula dari zaman Parsi hingga ke zaman sebelum kemerdekaan negara.

Menurutnya, koleksi ini sekali gus akan menyalurkan maklumat kepada mereka berhubung sejarah dan fungsi koleksi itu.

“Antara koleksi terbaik adalah piala HMS Malaya; set tepak sireh Sultan Abdul Samad; gantang, cerek, kacip dan seterika tembaga.

“Selain itu, turut dipamerkan jam meja tembaga, cermin muka berayat, replika gambang, bekas watikah dan set tepak sireh,” katanya,

Tambah Esa, usia koleksi tersebut ada yang mencecah ratusan tahun dan diperoleh hasi sumbangan daripada pihak luar.