Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Norhaslinda Nordin berkata, susulan kejadian itu kesemua mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

'Sebahagian mangsa telah menerima rawatan sebagai pesakit luar dan mereka telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala sebahagian lagi masih dirawat dan tahap kecederaan masih belum dipastikan, " katanya dalam kenyataan akhbar malam ini.

Tambahnya, siasatan awal DBKL mendapati lif tersebut telah disenggara mengikut jadual dan teratur, iaitu satu kali servis dalam tempoh sebulan  dan mempunyai Sijil Permit Mesin Angkat (PMA) yang sah sehingga 16 Januari 2020.

" Mengikut rekod, syarikat yang menyenggara lif tersebut adalah Firma Yang Kompeten (FYK) dengan merujuk kepada senarai Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (JKKP)," ujarnya.

Tambahnya, DBKL bersama syarikat penyenggaraan lif akan menyiasat lebih terperinci untuk memastikan punca kerosakan lif tersebut.

" Siasatan ini dijangka akan mengambil masa dua minggu.

"Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Datuk Bandar Kuala Lumpur  akan mengadakan perjumpaan dengan semua kontraktor menyenggara lif di perumahan awam dan bangunan-bangunan milik DBKL secepat mungkin.

"Dalam perjumpaan ini nanti, Datuk Bandar akan mengarahkan semua kontraktor lif untuk meningkatkan serta memperketatkan kawalan dan penyenggaraan semua lif di samping mengutamakan keselamatan pengguna lif sepanjang masa," katanya .

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang tadi seramai lapan orang cedera apabila lif yang mereka naiki di PPR Kerinchi di sini terhempas dari tingkat lima dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi.

Ini telah menyebabkan ada penumpang lif yang terkejut dan jatuh di atas ruang lantai dalam lif tersebut.- UTUSAN ONLINE