Restoran berkenaan terus mendapat kecaman oleh ‘mahkamah netizen’ yang beranggapan caj dikenakan itu melampau.

Namun, pemilik yang juga Pengarah Urusan restoran tersebut, Burhan Mohamed, 57 sebaliknya mempertahankan bahawa caj yang dikenakan itu adalah susulan gangguan bekalan air sementara di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor bermula semalam.

“Sebenarnya ramai orang salah faham. Kami hanya kenakan caj tambahan 20 sen sewaktu ketiadaan air sahaja. Selepas pukul 10 pagi semalam (Rabu), bekalan air dah kembali pulih, kami pun hentikan caj berkenaan.

“Kami kena sediakan pinggan dan mangkuk sebab menurut notis yang dikeluarkan, katanya, tiga hari tiada air. Ini semua dilakukan demi kebersihan. Tak ada air macam mana nak cuci kan?

“Saya rasa sakit hati, orang cakap saya nak untung banyak. Ini bukan caranya, sedih bila mereka fikir kita nak kaut untung,” kata Burhan seperti dipetik portal berita mStar di sini hari ini.

Semalam, pengguna laman sosial diTwitter dan Instagram berkongsikan salinan resit berkenaan termasuk Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo.

Papagomo dalam hantaran di laman Twitter rasminya, @Sir_Azri berkata: “Lepas ni bawa cawan pinggan sendiri lah jawabnya. Makin teruk tekanan buat rakyat di bawah ni. Pemimpin kerajaan pulak sibuk dengan politik berebut jawatan”.- UTUSAN ONLINE