Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.01 mata kepada 1,673.25 daripada 1,679.27 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks bergerak antara 1,672.19 dan 1,682.04 sepanjang sesi dagangan pagi.

Kedudukan pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 358 berbanding 350, manakala 393 kaunter tidak berubah, 747 tidak diniagakan dan 19 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.7 bilion saham bernilai RM1.1 bilion.

Penganalisis Maybank IB Research Nik Ihsan Raja Abdullah berkata pemulihan berterusan dilakukan terhadap ekuiti global gagal menaikkan saham modal besar domestik, susulan tumpuan diberikan kepada saham modal kecil dan saham teknologi.

“Dari segi teknikal, kami jangka FBM KLCI akan berada pada jajaran 1,670 dan 1,700 hari ini dan paras sokongan akan menurun ke paras 1,670 dan 1,656,” katanya.

- BERNAMA