Pada 9.05 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.58 mata kepada 1,599.46, selepas dibuka 5.48 mata lebih tinggi kepada 1,598.36.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 258 berbanding 57 manakala 103 kaunter tidak berubah, 1,488 tidak didagangkan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 145.42 juta unit bernilai RM50.51 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran dibuka dengan nada lebih positif dan dijangka disusuli pemulihan pasaran hari ini selepas mencatat penurunan 22.17 mata, semalam.

"Kami menjangkakan saham-saham berharga rendah dan di pasaran lebih meluas akan mencatat peningkatan semula dalam masa terdekat ini berikutan aktiviti belian saham yang mungkin kembali apabila sentimen pasaran menjadi lebih positif ketika ini," katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata aktiviti belian itu mungkin dijejaskan oleh tindakan pengambilan untung ketika sebahagian besar penggiat pasaran masih dalam sentimen berhati-hati.

Semalam, pentadbiran Presiden Donald Trump mengejutkan pemerhati pasaran apabila bertindak menangguhkan tindakan mengenakan tarif baharu ke atas produk China bernilai kira-kira AS$156 bilion yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 September ini.

AS memberi alasan langkah itu diambil susulan kebimbangan mengenai impak ketegangan dagangan tersebut yang boleh menjejaskan perniagaan dan pengguna menjelang musim perayaan.

Di peringkat tempatan, pelabur menunggu pengumuman KDNK bagi suku kedua tahun ini yang akan diumumkan pada Jumaat ini.

- BERNAMA