Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.02 mata kepada 1,680.54 berbanding paras penutup 1,674.52 pada Khamis.

Indeks itu dibuka 0.07 mata lebih tinggi kepada 1,674.59 dan bergerak antara paras 1,672.60 dan 1,683.25 sepanjang hari dagangan.

Pencarta Maybank Investment Bank, Nik Ihsan Raja Abdullah berkata, saham-saham berkaitan minyak dan gas dijangka dalam tempoh bertenang semalam, namun minat terhadap saham kekal baik sejak semalam.

“Kami dapat melihat minat mereka terhadap kaunter minyak dan gas selain barisan kedua dan ketiga yang menyokong dagangan hari ini.

“Bagaimanapun, kami juga melihat beberapa aktiviti pengambilan untung yang bermula pada barisan kedua dan ketiga,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, beliau berkata, belian semasa harga rendah berlaku hari ini bagi saham wajaran tinggi terpilih.

“Sebagai contoh, Top Glove yang mencecah rekod tinggi RM5.21 pada Februari menyusut sehingga RM4.30 sebelum meningkat semula kepada RM4.57, penurunan kira-kira 16 peratus. Bagaimanapun, pelabur mengambil peluang untuk melabur,” katanya.

Di papan skor, suasana pasaran agak positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 484 berbanding 406 manakala 356 kaunter lagi tidak berubah, 658 kaunter tidak diniagakan dan 44 kaunter yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 4.67 bilion bernilai RM3.67 bilion daripada 4.77 bilion bernilai RM2.75 bilion pada Khamis.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, PBBank dan Tenaga menambah empat sen, masing-masing kepada RM24.48 dan RM12.68, Maybank susut dua sen kepada RM9.47 manakala PChem tidak berubah pada RM9.25.

Bagi kaunter cergas, Sapnrg naik 1.5 sen kepada 36.5 sen dan waran naik dua sen kepada 13.5 sen manakala Armada susut setengah sen kepada 19 sen dan Perdana kurang satu sen kepada 47 sen.

Daripada kaunter untung, Nestle menokok 70 sen kepada RM148.70, MPI naik 57 sen kepada RM10.40, HLBank menambah 54 sen kepada RM21.28, dan BAT meningkat 50 sen kepada RM34.56.

Indeks FBM Emas meningkat 47.98 mata kepada 11,759.18, FBMT 100 naik 46.98 mata kepada 11,602.72, Indeks FBM Emas Shariah menambah 54.66 mata kepada 11,748.08, Indeks FBM ACE naik 38.9 mata kepada 4,834.45 dan FBM 70 menokok 79.86 mata kepada 14,209.07.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 66.87 mata kepada 17,537.11, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.48 mata kepada 170.70 dan Indeks Perladangan menokok 37.77 mata kepada 7,256.19.

Jumlah dagangan pasaran utama menyusut kepada 3.81 bilion saham bernilai RM3.46 bilion daripada 3.93 bilion saham bernilai RM2.56 bilion pada Khamis.

Waran berkurangan kepada 408.99 juta unit bernilai RM81.37 juta daripada 423.46 juta unit bernilai RM82.42 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 447.15 juta saham bernilai RM120.07 juta daripada 416.87 juta saham bernilai RM102.89 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 434.96 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (531.44 juta), pembinaan (218.15 juta), teknologi (166.76 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (70.98 juta), hartanah (169.95 juta), perladangan (51.65 juta), REITs (8.64 juta), dana tertutup (23,900), tenaga (1.74 bilion), penjagaan kesihatan (124.26 juta), telekomunikasi dan media (130.66 juta), pengangkutan dan logistik (131.42 juta),dan utiliti (39.21 juta). BERNAMA