Pada 09.05 pagi ini, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.66 mata kepada 1,611.39 selepas dibuka 0.20 mata lebih rendah kepada 1,614.85.

Di pasaran secara amnya, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 190 berbanding 51 manakala 154 kaunter tidak berubah, 1,511 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 111.020.000 unit bernilai RM53.18 juta. Pasaran serantau menyaksikan Indeks Straits Times kehilangan 15.75 mata kepada 3,168.94, Nikkei Jepun susut 258,02 mata kepada 20,399.80 manakala Hang Seng Hong Kong merosot 114,58 mata kepada 25,824.72.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata ketidaktentuan mengenai pertikaian perdagangan AS-China yang juga dua kuasa besar ekonomi dunia itu telah menyumbang kepada prospek pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan selain turut memberi kesan langsung kepada pendapatan korporat.

"Pada masa ini, ekuiti global masih dalam peringkat konsolidasi dan ini akan mengekalkan aliran tidak menentu bagi saham-saham Bursa Malaysia dalam masa terdekat. Malah, seiring dengan senario sedia ada, kecenderungan untuk pasaran susut dijangka berterusan dan menyaksikan indeks utama lebih rendah lagi selepas ini," kata firma penyelidikan itu.

Ia turut mengunjurkan tahap sokongan sekitar 1,600-1,610 dengan rintangan antara 1,620 dan 1,630. - BERNAMA