Pada 9.02 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.71 mata kepada 1,656.82 selepas turun 11.41 mata kepada 1,657.53 pada paras penutup semalam.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatas kaunter untung sebanyak 91 berbanding 80, manakala 163 kaunter tidak berubah, 1,557 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 91.98 juta unit bernilai RM29.80 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran meneruskan aliran menurunnya hari ini terutamanya di pasaran utama dalam keadaan sentimen negatif di pasaran luar negara apabila AS mengancam untuk memburukkan lagi perang perdagangannya dengan China dengan mengenakan lebih banyak tarif ke atas barangan China yang memasuki negara itu.

Firma penyelidikan tersebut juga berkata sentimen perdagangan negatif itu juga menyebabkan indeks serantau turut jatuh susulan kebimbangan terhadap penguncupan pendapatan korporat Amerika berikutan kenyataan terbaharu oleh AS itu.

“Dalam keadaan sekarang, trend penstabilan FBM KLCI dijangka berterusan memandangkan masih ada lagi beberapa petanda pemulihan. Oleh itu indeks masih lagi dalam proses penyesuaian daripada situasi peningkatan harga selepas naik lebih daripada 7.0 peratus dalam masa enam minggu.

“Bagaimanapun, penstabilan ketika ini telah membolehkan penilaiannya kembali ke jajaran 14x-17x,” kata firma penyelidikan itu. - BERNAMA