Generasi sebelum ini melam­bungkan pujian atas peranan JKR yang menyentuh kehidupan rakyat sejak lebih 100 tahun lalu menerusi penyediaan prasarana penting seperti jalan raya, sekali gus menjadi pemangkin pembangunan sosio ekonomi negara.

Kita boleh membicarakan sejarah bermulanya jabatan ini di Hugh Low Street di Ipoh, Perak, namun apabila seseorang melalui jalan bermasalah, segala jasa tidak dikenang.

Namun JKR bukan agensi yang ‘terperangkap’ dalam sejarah kegemilangan kerana Aku Janji Sifar Pothole yang ditandatangani 78 jurutera daerah yang diserahkan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof merupakan ikrar yang akan menjadi perhatian.

Pada masa sama, masyarakat juga perlu adil dalam menjayakan sasaran sifar masalah jalan raya menerusi 15 saluran aduan termasuk Twitter, Facebook, e-mel, khidmat pesanan ringkas, surat, Sistem Aduan JKR Care dan sebagainya.

Malah aplikasi telefon pintar, Aduan Jalan KKR juga membolehkan aduan dibuat terus beserta gambar yang dilengkapi dengan lokasi GPS dan kemudian dikenal pasti sebelum dirujuk kepada jurutera daerah.

JKR sendiri mengakui masalah jalan raya tidak dapat diselesaikan sepenuhnya memandangkan ada titik kelemahan terutama selepas banjir dan lebih muatan kenderaan berat yang bukan sahaja menjejaskan jalan persekutuan, malah laluan di perbandaran dan perkampungan.

Hakikatnya, penyelenggaraan jalan raya bukan digalas Kementerian Kerja Raya sahaja tetapi juga pihak lain seperti pemilik jalan serta syarikat utiliti yang perlu lebih profesional dan bertanggungjawab.

Penguatkuasaan Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat juga perlu bertindak lebih tegas terhadap kenderaan berat lebih muatan menerusi penalti dan denda yang tinggi dalam sistem mata demerit.