Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, perumahan bandar ini adalah satu program penempatan dan penjagaan yang selamat serta dilengkapi dengan kemudahan asas untuk satu jangka masa yang ditetapkan.

"Penginapan ini bersifat sementara bagi meringankan masalah mereka sehingga dapat berdikari dan mampu untuk mendapatkan kediaman yang lebih selesa.

"Tempat mereka itu kemudiannya akan digantikan dengan anak-anak muda yang lain yang memenuhi kriteria dan syarat-syarat penyewaan iaitu berumur tidak lebih 35 tahun dan pendapatan tidak lebih RM2,000," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Norhaslinda, kategori sewaan bilik adalah mengikut bilangan katil yang disediakan iaitu empat atau enam buah katil di setiap satu bilik dengan kadar sewaan RM100 sebulan termasuk penggunaan elektrik dan air.

"Tempoh penyewaan adalah antara 12 hingga 18 bulan beserta cagaran sewa sebanyak dua bulan sahaja," katanya.

Jelasnya, isu peningkatan harga rumah di ibu negara khususnya adalah antara masalah yang paling menyulitkan warga kota bukan sahaja untuk memiliki kediaman tetapi juga untuk menyewa dengan harga yang berpatutan.

"Kami mendapati golongan paling terbeban dengan masalah ini adalah generasi muda yang baharu memulakan kehidupan di ibu negara yang datang jauh dari luar Lembah Kelang termasuk Sabah dan Sarawak malah tidak mempunyai saudara mara atau kenalan di sini," katanya.

Katanya, permohonan penyewaan Perumahan Bandar ini telah dibuka pada 20 Ogos lalu dan sesiapa yang berminat boleh membuat pendaftaran di laman web http://eperumahan.dbkl.gov.my. - UTUSAN ONLINE