Pembinaan bonggol jalan itu didakwa dilakukan tanpa mendapat persetujuan majoriti sehingga menyu­karkan sebilangan penduduk masuk ke ruang letak kenderaan di rumah mereka.

Namun dakwaan itu bercanggah dengan pendapat sebahagian lagi penduduk yang menyokong pembinaan bonggol berkenaan kerana mengambil kira faktor keselamatan orang ramai yang terdedah kepada bahaya dirempuh kenderaan yang kerap dipandu laju.

Seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa, tindakan penduduk membina bonggol itu tidak rasional dan keperluan kepada binaan itu tidak mendesak bahkan menghalang kelancaran pemanduan.

Sehubungan itu katanya, adu­an mengenai perkara itu telah dibuat kepada MPHTJ kira-kira tiga minggu lalu, namun masih tiada jawapan diberikan.

“Saya telah berhubung de­ngan pengerusi persatuan penduduk di sini bagi mendapatkan penjelasan, namun dia menafikan pihaknya bertanggungjawab mengenai pembinaan itu.

“Saya amat kecewa dengan keputusan yang dilakukan oleh penduduk sedangkan ia mungkin hanya dibangkitkan oleh seorang atau dua orang sahaja. Keputusan itu bukan keputusan majoriti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, kebenaran untuk membina bonggol sepatutnya perlu dibuat melalui perbincang­an dan mesyuarat bersama penduduk dan mendapat nasihat dan panduan daripada pihak berkuasa tempatan.

Pandangan berbeza pula di­nyatakan oleh Yap, Koh Tin, 76, yang bersetuju dengan pembinaan bonggol jalan oleh MPHTJ untuk memperlahankan pemanduan orang ramai cuma ia perlu dilakukan di kawasan yang tidak me­nganggu pergerakan penduduk.

“Antara tempat yang perlu dibina bonggol adalah laluan selekoh di hujung perumahan ke­rana di situ memang ramai yang memandu laju.

“Bagi saya, pembinaan bonggol ini sesuatu yang baik cuma pihak MPHTJ perlu memikirkan lokasi yang lebih bersesuaian dan bukannya di kawasan hadapan rumah,’’ katanya.

Sementara itu, penduduk turut mendakwa, kelulusan bagi pembinaan bonggol jalan itu telah mendapat persetujuan daripada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh.