Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan yang memaklumkan seorang bayi berusia setahun 10 bulan telah dimasukkan ke Zon Kritikal Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.

Katanya, menurut laporan itu, pihak taska terlibat pada pagi kejadian telah menganjurkan satu program permainan di padang taman terbuka yang terletak di luar taska berkenaan.

“Pada masa itu, mangsa dikatakan telah pergi ke kolam renang berdekatan tanpa pengetahuan pihak taska yang ketika itu terdapat lima penjaga taska berada di kawasan berkenaan.

“Kejadian hanya disedari selepas pengawal keselamatan kondominium berkenaan nampak ada seorang budak terapung dalam kolam berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Kata Rosly, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya bagi diberikan rawatan dan selepas itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan rapi.

Ujar beliau lagi, mangsa difahamkan telah dihantar ke taska itu sejak berumur tiga bulan dan setakat ini tiada masalah di pusat jagaan itu kerana mereka menjaganya dengan baik.

“Bayi itu kini di beri rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur untuk pemantauan dan sehingga kini keadaannya dilaporkan normal dan stabil.

“Setakat ini, doktor juga masih belum memaklumkan bila mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001.-UTUSAN ONLINE