Pemenang tersebut adalah Borhan Nordin Dimyati dari Sabak Bernam, Selangor yang merupakan pemenang cabutan khas sementara Salamah Sabtu dari Muar, Johor ialah pemenang bagi suku keempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam menerima sambutan yang amat memberangsangkan sejak kempen Al-Awfar Extr4 Drive 2018 berlangsung.

“Bank Islam mencatatkan jumlah deposit sebanyak RM255 juta dan berjaya menarik kira-kira 75,000 pelanggan baharu bagi akaun Al-Awfar. Akaun pelaburan yang berisiko rendah ini menggalakkan simpanan di samping berpeluang memenangi hadiah cabutan bulanan, suku tahunan dan peringkat wilayah.

“Al-Awfar bukan sahaja terbuka untuk individu, malah bukan individu seperti persatuan, badan agama, sekolah, universiti, kelab dan pertubuhan juga layak membuka akaun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Muazzam, Bank Islam akan meraikan ulang tahun ke-10 Al-Awfar sejak pelancarannya pada tahun 2009.

“Oleh itu, kami akan mengumumkan sesuatu yang baharu dan menarik untuk produk Al-Awfar ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE