Penduduk mendakwa, selain dicetuskan oleh faktor pembangunan, masalah itu juga berpunca daripada sikap segelintir penghuni dalam kalangan warga asing apabila menjadikan kawasan sungai itu sebagai tong sampah besar bagi mereka.

Penduduk mendakwa, kedudukan rumah yang terletak kira-kira lima meter dari sungai berkenaan dipercayai menjadi punca sikap ambil mudah pe­nghuni yang mengabaikan kemudahan tong sampah disediakan di setiap rumah oleh pihak berkuasa tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu baru-baru ini mendapati dakwaan penduduk berasas apabila anak sungai yang mengalir di tengah-tengah pe­nempatan didiami kira-kira 1,700 penduduk itu dipenuhi pelbagai jenis sampah-sarap.

Ini termasuk plastik, bekas makanan dan botol minuman yang boleh mempengaruhi kualiti airnya dan memberi kesan pada ekosistem Sungai Raya termasuk ikan sungai dan hakisan.

Turut mengejutkan sampah pukal seperti tilam, kusyen dan perabot juga dibuang ke dalam sungai sehingga menyekat a-liran air.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Raya, Norlisman Abu berkata, keadaan sungai itu tidak lagi seperti dahulu yang mana airnya boleh diminum, dijadikan tempat mandi-manda dan kawasan riadah penduduk sekitar.

Katanya, aktiviti pembuangan sampah ke dalam sungai masih berlaku meskipun beberapa program kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan sungai serta gotong-royong membersihkan sungai telah dijalankan.

“Hari ini kandungan air, sifat dan warnanya sudah berubah sama sekali sehingga mengeluarkan bau dan jika disentuh, badan akan berasa gatal-gatal.

“Saya harap pihak berkuasa dapat menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang sengaja mengotorkan sungai,” katanya sambil menambah bahawa sungai sepatutnya dijadikan sebagai nadi kehidupan rakyat, bukan untuk dicemari.