Itu jawaban Azman Mohd. Ali, 36, ketika ditanya mengenai kesesakan lalu lintas yang terpaksa dihadapi sejak awal pagi tadi.

Azman merupakan salah seorang daripada ribuan anak Kelantan yang memandu dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidiladha esok.

Walaupun hanya berbaki 15 minit memasuki pukul 12 tengah malam, Azman serta ribuan pemandu lain yang menuju ke Kelantan masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas antara Merapoh ke Gua Musang.

Dia yang pulang bersama isteri dan tiga anaknya berusia 2 hingga 12 tahun itu berkata , mereka sekeluarga memulakan perjalanan dari rumah mereka di Pandan Indah seawal pukul 9 pagi.

"Kesesakan lebih awal berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 menuju Tol Gombak apabila trafik mula bergerak perlahan.

"Saya memilih untuk melalui Jalan Gombak Lama menuju ke Bukit Tinggi, dan sekali lagi terpaksa berdepan kesesakan teruk sebaik memasuki Tol Bentong.

" Disebabkan kesesakan berterusan saya terpaksa melalui jalan alternatif di Mempaga menuju ke Raub.

"Dihitung perjalanan kami sudah memakan masa hampir 13 jam kerana kesesakan lebih teruk berlaku sepanjang perjalanan dari Kuala Lipis ke Merapoh, " katanya ketika ditemui Utusan Online di Hentian Merapoh malam ini.

Akuinya, dia sendiri tidak dapat menjangkakan waktu tepat sampai di kampungnya di Ketereh .

"Mungkin jam 4 atau 5 pagi jika melihat kepada kesesakan teruk yang berlaku," katanya.

Kesesakan lalu lintas terutama bagi laluan pantai Timur merupakan satu fenomena biasa setiap kali musim perayaan lebih-lebih minggu ini jatuh pada cuti persekolahan.

Bagi Kamarul Arifin Zainal, 45, dia memulakan perjalanan dari rumahnya di Shah Alam seawal pukul 10 pagi dan berhenti sementara di dua hentian untuk solat sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu.

"Saya sudah jangkakan kesesakan lalu lintas berlaku tetapi tidak menyangka perjalanan dari Kuala Lipis hingga ke Gua Musang sahaja mengambil masa lebih 8 jam.

" Saya juga tidak pasti jam berapa tiba di rumah ibu di Kedai Mulong, Kota Bharu kerana difahamkan Kuala Krai juga sesak teruk," katanya.- UTUSAN ONLINE