Keberangkatan Seri Paduka ke masjid itu yang terletak di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah bersempena Khutbah Khas Pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Al-Sultan Abdullah berangkat tiba ke sini pada pukul 1.20 petang kemudian disambut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad;

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Seri Paduka kemudian mendengar khutbah khas Jumaat yang disampaikan oleh Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad bertajuk ‘Kesetiaan Pada Raja dan Negara’ sebelum bersama-sama dengan rakyat menunaikan solat Jumaat.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka meluangkan masa bersalam-salaman dengan rakyat jelata yang begitu teruja dengan kehadiran Al-Sultan Abdullah.

Pada Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara. - UTUSAN ONLINE