Johari Abdul

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha berkata, hal itu kerana Mohamed Azmin adalah antara menteri Kabinet yang menyerlah dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga berjaya menenggelamkan aura musuh politik beliau.

“Mohamed Azmin meme­gang portfolio yang amat penting dan berjaya melaksanakan tugas dengan baik. Beliau semakin di­segani oleh rakyat selain sangat dihormati di Selangor. Perkara ini membuatkan musuh politiknya terasa tercabar.

“Apa pun kita tidak tahu siapa dalang sebenar di sebalik penyebaran video ini. Yang pasti kita menolak politik ‘durjana’ yang cuba dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas mengenai video intim yang melibatkan individu didakwa menyerupai Mohamed Azmin, Haniza berpendapat terdapat beberapa perkara yang menimbulkan kemusykilan berhubung perkara tersebut.

Katanya, beliau hairan de­ngan tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Muhammad Haziq Abdul Aziz yang tidak melakukan penafian secara terbuka de­ngan media sedangkan terdapat video seorang individu yang mendakwa dirinya Haziq mengaku melakukan seks songsang tersebut.

“Kalau dah buat pengakuan terbuka, perkara itu (seks songsang) jelas melanggar undang-undang tetapi Haziq masih tidak melakukan penafian. Bagaimanapun, melihat kepada kualiti video tersebut, ia seolah-olah disunting oleh pihak tertentu dengan niat untuk menjatuhkan Mohamed Azmin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, cubaan untuk menjatuhkan Mohamed Azmin dengan menyebarkan video intim itu adalah tindakan keji musuh politik tertentu.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk mengenal pasti sama ada pihak yang terlibat dalam penyebaran video tersebut berada dalam parti ataupun di pihak pembangkang memandangkan masih tiada bukti ditemukan.

“Lebih elok sekiranya kita tidak membuat sebarang andaian sendiri dan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Muhammad Haziq dalam parti, Johari memaklumkan yang beliau langsung tidak mengenalinya dan menyerahkan segala keputusan kepada Biro Politik PKR.