Menyerupai konsep GrabCar ke­­rana menggunakan kenderaan persendirian, perkhidmatan alternatif bas atau van sekolah tersebut memang ditawarkan khusus membawa pelajar sekolah sahaja terutama murid sekolah rendah.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah di sekitar ibu negara mendapati kewujudan perkhidmatan itu adalah disebabkan adanya permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa, mungkin di­sebabkan kos bayaran bulanan yang lebih rendah.

Aspek jaminan keselamatan pe­lajar amat dikhuatiri kerana van-van persendirian ini didakwa beroperasi tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan untuk perkhidmatan pengangkutan yang dibenarkan.

Tanpa kelulusan pihak berwajib seperti lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), kewajipan pemeriksaan berkala di Puspakom Sdn. Bhd. serta insurans buat penumpang secara tidak langsung membuatkan van-van sapu ini menidakkan hak perkhidmatan pe­ngangkutan berlesen.

Apa yang menyedihkan, perkara itu seolah tidak diambil serius pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sehingga mengetepikan keselamatan nyawa kanak-kanak.

Bapa kepada seorang pelajar, Mohamad Sakri, 50, ketika ditemui memberitahu, sebelum ini dia pernah menggunakan perkhidmatan itu untuk memudahkan urusan penghantaran dan pengambilan anak dari sekolah.

“Tetapi selepas beberapa kejadian seperti kemalangan, kehilangan anak dan keciciran menjadi pengajaran untuk saya lebih mengutamakan keselamatan anak. Saya pernah terbaca dalam akhbar berhubung kes itu dan ia menyebabkan saya rasa ragu dan tidak senang hati.

“Sejak daripada itu, saya lebih selesa untuk menguruskan sendiri kerana lebih selamat,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang ibu, Nurhayati Hairom, 30, berkata, dia lebih memilih untuk menghantar sendiri anak ke sekolah, namun sekiranya diperlukan dia akan memilih untuk menggunakan khidmat individu yang dikenali.

Ujarnya, ramai sedia maklum risiko perkhidmatan van persendirian seperti ini namun tetap memi­lihnya dengan alasan tertentu se­perti kos lebih murah dan pergerakan yang lebih mudah untuk anak-anak mereka.