Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, banyak dakwaan dilemparkan berhubung penganjuran program itu yang melibatkan kewangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Saya hendak jelaskan hari ini bahawa semua masjid-masjid dan surau Jumaat yang menjadi tuan rumah bagi menyediakan makanan di gerai-gerai ini, merekalah yang menanggung semua makanan dan minuman yang disediakan.

“Khemah pula disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kita hanya terlibat untuk perbelanjaan pentadbiran sahaja malah itu tidak banyak jika dibandingkan dengan semua yang perlu kita tanggung.

“Jadi, konsep ini saya rasa cukup baik kerana masjid dapat turun padang tanpa mana-mana tanggungan daripada kita sebab kita tahu masjid di Wilayah Persekutuan ini banyak duit justeru tidak timbul kita guna duit jabatan atau sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program ‘Street Raya’ Masjid dan Surau Jumaat 2019 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Program julung kali diadakan itu mendapat pengiktifaran Malaysia Book of Records (MBR) dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung berbilang bangsa dan agama termasuk warga asing dan pelancong.

Program yang bermula pada pukul 2 petang hingga 6 petang itu menyediakan 94 buah gerai juadah makanan.

Pelbagai menu dan juadah disediakan termasuk 70 ekor kambing, 50,000 cucuk sate, 200 ekor ayam pusing, 6,000 bungkus nasi Arab, nasi lemak, nasi briyani, 2,000 kilogram (kg) buah durian dan buah-buahan yang lain. - UTUSAN ONLINE