Menurut Khalid, keputusan itu menyebabkan dia tidak layak untuk menerima wang caruman Perkeso walaupun dirinya kini sudah tidak mampu lagi bekerja akibat patah kaki dan tangan ekoran kemalangan yang dialaminya pada 2016.

“Persidangan jemaah doktor rayuan mengenai soal keilatan Perkeso memutuskan saya tidak menghidap keilatan dan tidak layak menerima apa-apa faedah di bawah skim pencen ilat.

“Tetapi saya betul-betul tidak mampu lagi bekerja, dengan keadaan tangan dan kaki yang patah, tidak ada majikan yang mahu ambil saya bekerja. Saya hanya mahu tuntut hak saya hasil caruman sebelum ini, sekurang-kurangnya dapat meringan beban saya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Jelas Khalid, dia kini hanya menerima bantuan masing-masing sebanyak RM300 sebulan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan di bandar.

“Duit itu hanya cukup-cukup untuk saya bayar sewa rumah di Taman Medan, tapi bagaimana pula untuk makan minum saya, serta bil-bil lain?.

“Kerana terdesak, saya juga selalu pergi ke masjid-masjid di di sekitar Lembah Klang untuk memohon bantuan. Itu sahaja yang saya boleh lakukan walaupun terpaksa tebalkan muka,” katanya yang masih bujang.

Menjelaskan lagi, kata Khalid, dia ada membuat rayuan kepada pihak Perkeso berhubung keputusan yang diterimanya itu namun hampa apabila dimaklumkan bahawa dia hanya boleh membuat rayuan semula enam bulan akan datang.

“Saya ada bertemu doktor swasta dan mereka juga memaklumkan bahawa saya memang sudah tidak boleh lagi bekerja dalam keadaan sekarang, apa yang saya boleh buat lagi? tangan kiri saya ini, nak angkat air pun sudah tak boleh,” katanya. - UTUSAN ONLINE