F&NHB dalam kenyataan di sini hari ini berkata, sumbangan julung kali itu bertujuan membantu jemaah memulihkan tenaga dan mendapatkan jumlah air secukupnya ketika menunaikan haji dalam cuaca panas terik.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata, pihaknya bersyukur dan berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan beribu-ribu jemaah yang akan menunaikan rukun Islam ke lima itu.

“Ibadat haji merupakan kemuncak 'perjalanan' umat Islam dan merupakan pengalaman sekali seumur hidup yang menguji daya tahan fizikal, mental dan kerohanian.

"Mengekalkan kesihatan dan kecergasan semasa menunaikan kewajipan dalam cuaca yang sangat panas di Mekah amat penting bagi para jemaah supaya mereka lebih bertenaga dan dapat melapangkan fikiran dan memberi tumpuan kepada ibadah," katanya.

Yew Hoe berkata, serbuk 100Plus Active yang mengandungi Vitamin B3, B6 dan B12 tambahan itu diperbuat bukan sahaja untuk menghilangkan dahaga tetapi membekalkan tenaga selain menggantikan bendalir yang hilang akibat berpeluh.

"Minuman isotonik tidak berkarbonat ini membantu menghidratkan semula badan, menggantikan zat dan memulihkan tenaga manusia yang aktif untuk tahap penghidratan optimum," katanya. - UTUSAN ONLINE