Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, lokasi yang dicadangkan adalah di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR)3 atau 5 .

“Bagaimanapun, pemindahan itu perlu mendapat persetujuan majoriti penjaja yang terlibat. Mereka diminta untuk berbincang terlebih dahulu dengan persatuan dan jika tidak bersetuju penjaja boleh menyatakan cadangan untuk dipertimbangkan.

“Mereka tidak akan dibenarkan untuk berniaga di tapak tersebut sehingga siasatan oleh pihak bomba selesai dijalankan. Ini juga bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nor Hisham, pihaknya juga meminta penjaja yang telibat untuk mengemukakan kos kerugian dalam tempoh tiga hari.

Pada awal pagi tadi, sebanyak 30 daripada 143 gerai di bazar Jalan Masjid India yang menjalankan pelbagai jenis jualan seperti baju, tudung, jam dan sebagainya mengalami kebakaran.-UTUSAN ONLINE