Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, memorandum dua mukasurat yang diserahkan itu menggesa pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah proaktif bagi mengembalikan hak rakyat negara itu.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menghapuskan status istimewa Kashmir yang dilakukan India.

“Pengumuman tersebut juga mencetuskan suasana kekacauan di negara itu selain dilihat sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diletakkan oleh penduduk Jammu dan Kashmir ke atas India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Penolong Wakil Residen UNDP (Ketua Operasi), Patrick Pee, di sini hari ini.

Baru-baru ini dekri Presiden membatalkan Perkara 370 Perlembagaan Persekutuan yang memberi wilayah Jammu dan Kashmir kuasa autonomi khas.

Kerajaan di bawah pimpinan Parti Bharatiya Janata juga mengusulkan rang undang-undang yang mencadangkan Jammu dan Kashmir dibahagikan kepada dua wilayah yang ditadbir secara terus oleh New Delhi.

Perkara 370 Perlembagaan Persekutuan melarang warga India dari luar wilayah berkenaan daripada menetap secara tetap, membeli hartanah, mendapatkan pekerjaan kerajaan tempatan dan biasiswa pendidikan. - UTUSAN ONLINE.

habis//