Mayat-mayat tersebut dibawa keluar bermula pukul 12.45 tengah hari dan terakhir pada pukul 6 petang ini.

Identiti mayat didakwa sebagai Jais Keladi, 55; Mohd Saleh Kaizan, 1; Leha Hamdan, 26; Amir Li, 1; Puspa Li, 5; Farah Rahim, 20; Haikal Rahim, 22 dan Jelik Jok (umur tidak diketahui).

Susulan perkembangan terbaharu itu, kesemua 12 mayat mangsa yang maut tetapi tidak dilaporkan kepada polis serta dua mayat yang dilaporkan kepada polis kini berjaya dibawa keluar bagi menjalani proses bedah siasat.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, walaupun pasukan penyelamat berdepan kesukaran ke lokasi persemadian mangsa-mangsa, mereka tetap berusaha memastikan operasi hari ini mencapai sasaran.

“Sebagaimana mayat terdahulu yang kita bawa keluar, mayat-mayat tersebut diletakkan di atas para khas mengikut adat suku Bateq.

“Ada antara mayat terbabit masih elok berbungkus, ada yang tinggal rangka dan ada juga yang rangkanya sudah jatuh bertaburan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Taufik, biarpun kesemua 14 mayat telah dibawa keluar dan kini berada di Hospital Gua Musang, Op Bateq belum ditamatkan sepenuhnya, sebaliknya polis bersiap sedia menunggu arahan lanjut daripada kerajaan.

“Kami berterima kasih kepada semua pasukan keselamatan, kakitangan agensi, NGO dan penduduk setempat serta petugas media yang membantu pasukan pencari serta memainkan peranan masing-masing sepanjang Op Bateq dilakukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE