Program tersebut dilaksanakan dengan melakukan kunjungan ke 80 buah rumah golongan asnaf bagi menyampaikan sumbangan berupa keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak, gula dan beberapa barangan lain.

Menurut Pengarah program itu, Norsyuhadah Mohammad, kunjungan itu turut dijayakan dengan penyertaan seramai 30 orang ahli Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dari Pasukan Pengakap Kelana A Daerah Kulim yang bersama-sama tampil menghulurkan bantuan.

Katanya, setiap rumah yang dikunjungi disampaikan beras seberat lima kilogram (kg) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 400kg untuk kesemua 80 buah kediaman golongan asnaf berkenaan.

“Sumbangan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan mereka tambahan pula menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, jadi kami cuba menceriakan mereka dengan pemberian-pemberian barangan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Peserta program daripada Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Muhammad Daniel Malik, 20, berkata, banyak perkara baharu yang dipelajarinya setelah menyertai program tersebut.

“Saya dapat merasai erti kesusahan ditanggung mereka yang turut menginsafkan kita bahawa tidak semua orang bernasib baik dan perlu diberi perhatian supaya mereka tidak tercicir dengan arus kemodenan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Pesuruhjaya PPM negeri, Mohd. Aswadi Muhamad pula berkata, program Kerana Sedekah Membawa Berkah itu adalah kali ke-4 dianjurkan sebagai acara tahunan sejak 2016.

Katanya, masih ramai lagi golongan fakir miskin dan orang kurang upaya (OKU) berdepan kesukaran untuk menyediakan kelengkapan perayaan setiap kali sambutan penuh bermakna itu tiba. -UTUSAN ONLINE