Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa berkata, usaha itu bertujuan membantu ibu bapa golongan B40 yang bekerja menikmati perkhidmatan penjagaan kanak-kanak terbaik namun dengan harga paling rendah.

Selain taska katanya, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Transit yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak selepas sesi persekolahan turut diperkenalkan sejak tahun lalu bagi tujuan sama.

“Di Kelantan sebanyak 10 Taska Kemas akan diwujudkan pada tahun depan. Kita akan cuba pastikan setiap parlimen di negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya satu taska.

TIMBALAN Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa melihat keadaan Tabika Kemas di Pulau Teluk Re

TIMBALAN Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa melihat keadaan Tabika Kemas di Pulau Teluk Renjuna, Tumpat di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE/ Zulhanifa Sidek

“Fokus kita ialah di bandar dan sub-bandar kerana permintaan tinggi di kawasan sebegitu memandangkan kebanyakan ibu bapa keluar bekerja berbanding kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat lawatan kerja di Tabika Kemas Pulau Teluk Renjuna dan Tabika Kemas Pulau Suri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kemas negeri, Anuar Mat Zain.

Dalam program sama, Sivarasa turut meluangkan masa melawat dua rumah penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Pulau Suri.

Mengulas tentang PPRT, Sivarasa memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi projek pembinaan rumah baharu dan projek membaik pulih PPRT sedia ada di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Katanya, menerusi peruntukan itu, sebanyak 1,224 rumah PPRT baharu dirancang akan dibina pada tahun ini manakala sejumlah 7,500 buah rumah PPRT sedia ada pula telah dikenal pasti untuk dibaik pulih di seluruh negara. - UTUSAN ONLINE