Mayat Wong Kam Ciu, 71, dijumpai pasukan mencari dan penyelamat dalam kebun getah bersebelahan kebun durian miliknya pukul 11.40 pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berkenaan daripada rakannya petang semalam.

Katanya, kehilangan warga emas itu disedari, Loh See Lim, 48, yang mencarinya sejak Ahad lalu di kebun durian itu.

PASUKAN penyelamat menemukan mayat lelaki warga emas dalam kebun getah bersebelahan kebun durian mil

PASUKAN penyelamat menemukan mayat lelaki warga emas dalam kebun getah bersebelahan kebun durian milik mangsa di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Rakannya itu belum mengesyaki sesuatu kejadian buruk berlaku sebelum mencarinya setiap hari.

“Pada pukul 5 petang semalam barulah rakan mangsa membuat laporan selepas gagal mencarinya termasuk di sebuah bangsal dalam kebun durian terbiar kosong,” katanya.

Mohd. Taufik berkata, polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) telah melancarkan gerakan mencari bermula pukul 10.10 pagi, hari ini.

Katanya, pada mulanya gerakan mencari mangsa di sekitar kebun durian dan sebuah bangsal usang miliknya gagal ditemui.

“Apabila pencarian dilakukan ke kawasan kebun getah berhampiran, anggota penyelamat telah menemui mayat dipercayai mangsa yang hilang itu.

“Pasukan pencarian itu juga turut menemui bersama mayat satu beg galas, sebilah parang dan sabit,” katanya.

Tambah Mohd. Taufik, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan siasatan masih dijalankan berhubung penemuan mayat mangsa itu. - UTUSAN ONLINE